Sunday, August 12, 2018

41 Kelebihan Rasulullah SAW

Dalam sebuah buku karangan Sheikh Izzuddin Abdul Aziz Bin Abdul Salam Al-Sulami beliau telah menyenaraikan  41 Kelebihan Rasulullah SAW


1.      Nabi s.a.w merupakan pemimpin bagi semua nabi.




2.     Ditangan Nabi s.a.w akan ada bendera kepujian di hari kiamat.


3.     Nabi Adam a.s  akan berdiri dibawah bendera Nabi s.a.w.


4.     Allah s.w.t telah mengampunkan dosa Nabi s.a.w yang terdahulu atau yang terkemudian. Disebabkan itu Nabi s.a.w adalah seorang yang ‘maksum’ (bebas dari dosa). Hanya Nabi s.a.w sahaja yang dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Allah s.w.t. Keistimewaan yang tidak diberikan kepada para nabi lain.


5.     Nabi s.a.w adalah orang pertama yang mendapat keizinan syafaat dan orang pertama yang akan memberi syafaat di hari kiamat.


6.     Nabi s.a.w sentiasa melebihi masalah umat melebihi diri baginda sendiri.


-          Setiap nabi mempunyai kuasa doa yang akan diperkenankan oleh Allah s.w.t serta merta.


Doa ini hanya diberi sahaja sekali kepada setiap nabi. Sepertimana nabi Nuh a.s berdoa kepada Allah s.w.t selepas berdakwah selama 950 tahun- agar kaumnya dibinasakan. Namun, Nabi s.a.w telah menyimpan kuasa doa ini untuk berdoa di hari kiamat bagi menyelesaikan masalah umatnya.


7.     Hebatnya Rasulullah s.a.w sehingga Allah s.w.t bersumpah dengan hayat Nabi s.a.w.


                        لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِي سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ


Maksudnya: (Allah berfirman): "Demi umurmu** (Muhammad), Sesungguhnya mereka terombang-ambing di dalam kemabukan (kesesatan)". (al-Hijr, ayat:72)


**Keterangan:  Orang Arab biasa bersumpah dengan umur seseorang. disini Allah bersumpah dengan umur atau kehidupan nabi Muhammad s.a.w. untuk memuliakan beliau.


8.      Allah s.w.t memuliakan Nabi s.a.w dalam panggilan-Nya. Jika kita perhatikan, Allah s.w.t tidak memanggil gelaran Muhammad di dalam Quran, tetapi memanggilnya dengan panggilan jawatan..”ya ayyuha nabi/rasul”..Tetapi para nabi lain dipanggil dengan nama mereka seperti Adam, Nuh, Musa, Isa, Ibrahim dan sebagainya.


9.      Mukjizat nabi lain sudah tiada. Tetapi mukjizat Quran terus dapat dilihat dan akan kekal sehingga hari kiamat.


*Perbandingan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w bukanlah bertujuan untuk memperkecilkan mukjizat para nabi yang lain. Bahkan mukjizat para nabi lain juga begitu hebat dan besar. Tetapi tujuannya untuk kita sebagai umat Muhammad berbangga dengan nabi kita dan kelebihan ini juga sebenarnya satu pengiktirafan dan penghormatan buat Nabi s.a.w.


10.  Nabi s.a.w menerima salam dari batu semasa baginda di Mekah. Begitu juga pelapah tamar yang menangis ketika berpisah dengan Nabi s.a.w.


11. Nabi s.a.w mengeluarkan air dengan hanya menerusi jarinya untuk kaum muslimin berwuduk. Berbanding nabi Musa a.s yang mengeluarkan air dari celahan batu dengan mengunakan tongkatnya.


12.  Nabi Isa a.s telah menyembuhkan mata orang buta. Tetapi Nabi Muhammad s.a.w telah memasukkan mata orang yang terkeluar dan menjadikannya celik kembali seperti asal. Peristiwa ini berlaku kepada sahabat, Qatadah apabila matanya terkeluar ketika perang Uhud.


13.  Nabi Isa boleh menghidupkan orang yang mati. Tetapi Nabi s.a.w telah menghidupkan jiwa yang mati yakni dakwah Islam baginda menjadikan orang yang kufur berubah menjadi orang yang beriman. Ianya kekal sehingga hari kiamat.


14.  Setengah penduduk syurga terdiri daripada umat Nabi Muhammad s.a.w.


15.  Nabi dan rasul yang lain diutuskan kepada kaum yg khusus. Tetapi Nabi s.a.w diutuskan kepada seluruh manusia dan jin. Rahmatan lil a’lamin.


16.  Nabi Musa a.s berkata-kata dengan Allah s.w.t di bumi (bukit thursina dan di lembah yg suci), tetapi Nabi s.a.w berkata-kata dengan Allah s.w.t di sidratul muntaha (langit ketujuh).


17.  Umat Muhammad s.a.w merupakan umat terakhir di dunia, tetapi umat pertama yang akan di hisap di akhirat dan pertama masuk syurga.


18.  Nabi s.a.w merupakan orang pertama yang terbelah kuburnya di hari akhirat, orang pertama pemberi syafaat kepada umatnya dan orang pertama yang menerima pertolongan dari Allah s.w.t.


19.  Nabi Muhammad s.a.w diberi kuasa syafaat, yakni satu kuasa yang diingini oleh para nabi yang lain untuk memilikinya.


20. Kuasa syafaat adalah satu kedudukan tinggi di syurga, hanya seorang hamba Allah sahaja yang mampu memperolehnya. Dan Nabi s.a.w amat mengharapkannya agar baginda mampu memberikan syafaat ini kepada umatnya nanti.


21. 70,000 umat Muhammad s.a.w akan masuk syurga tanpa hisap dan azab. Keistimewaan yang tidak diberikan kepada kaum nabi lain.


22. Nabi s.a.w mempunyai kolam al-Kautsar di syurga dan kolam Haudh di luar syurga untuk kita (umat Muhammad) minum daripadanya.


23.  Umat Muhammad merupakan umat terakhir di dunia, tetapi umat pertama yang diselesaikan masalahnya dan memperoleh ketinggian darjatnya di hari akhirat kelak.


24.   Halal bagi umat Muhammad s.a.w untuk mengambil harta ghanimah di dalam perang. Tetapi umat terdahulu tidak diizin untuk mengambilnya.


-          5 perkara yang diberikan kepada nabi Muhammad s.a.w, tetapi tidak diberikan kepada nabi lain :


i)     Lurus saf solat umat Muhammad s.a.w seperti lurus saf mailakat.


ii)   Allah s.w.t menjadikan bumi sebagai masjid. Boleh solat di mana sahaja melainkan ditempat yang haram seperti tandas.


iii) Tanah bumi bersih untuk bertayammum.


iv) Nabi s.a.w diberi bantuan oleh Allah s.w.t dengan perasaan gerun di dalam hati musuh-musuhnya.


v)   Nabi Muhammad s.a.w mampu memberikan syafaat buat umatnya.


25.  Allah s.w.t telah memuji peribadi dan akhlak Nabi s.a.w. Firman Allah s.w.t :


وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ


Maksudnya:  “Dan Sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung. (al-Qalam, ayat:4)


26.  Allah s.w.t telah berkata-kata dengan Nabi s.a.w melalui pelbagai cara menerusi wahyu. Antaranya, ru’yah (mimpi), secara langsung (ketika israk & mi’raj), menerusi malaikat Jibril (berupa manusia dan suara loceng), Jibril meniup wahyu ke dalam hati Nabi s.a.w.


27.  Kandungan al-Quran terdiri daripada isi kandungan TAURAT, injil dan zabur. Tetapi keistimewaan al-Quran melebihi kitab yang lain adalah mempunyai surah yang pendek.


28.  Amalan yang diberikan kepada umat Nabi s.a.w adalah sedikit berbanding umat yang terdahulu, tetapi ganjarannya  besar di sisi Allah s.w.t.


29. Allah s.w.t memberi tawaran jawatan dan kekayaan kepada Nabi s.a.w, iaitu sebagai seorang nabi yang berkuasa dan kaya. Namun Nabi s.a.w memilih untuk menjadi hamba yang bersyukur.


30.  Allah s.w.t menjadikan Nabi s.a.w sebagai rahmat seluruh alam.


31.   Segala tingkah laku dan tindak tanduk Nabi s.a.w menunjukkan indahnya sifat Nabi s.a.w.


32.  Nabi s.a.w seorang yang berlemah lembut di dalam perkara yg halal, tetapi tegas dalam perkara yang haram.


33.  Nabi s.a.w berlemah lembut dengan orang mukmin, tetapi bertegas dengan orang kafir.


34.  Nabi s.a.w sentiasa berkeinginan tinggi untuk melihat umatnya menerima dakwah Islam. Oleh itu, Nabi s.a.w selalu mengutamakan umatnya di dalam semua hal.


35.  Nabi s.a.w telah berjaya menyampaikan semua amanah dan menyempurnakan Islam kepada umatnya.


36.  Allah s.w.t menjadikan umat Islam sebagai saksi kepada nabi-nabi terdahulu bahawa mereka telah menjalankan tugas dakwah mereka.


37.  Allah s.w.t memberi jaminan untuk memelihara umat Muhammad s.a.w dari kesemuanya sesat. Pasti akan ada kumpulan yang bangun untuk membela Islam ketika wujudnya kumpulan-kumpulan yang menentang dan sesat.


38.  Allah s.w.t telah berjanji untuk memelihara al-Quran dari diselewengkan.


39.  Allah s.w.t tidak akan memberitahu sama ada amalan seseorang umat Muhammad s.a.w itu diterima atau tidak. Hal ini lebih baik untuk menutup keaiban orang yang tidak diterima amalannya. Kita hanya perlu berdoa agar amalan kita diterima Allah s.w.t. Berbanding umat terdahulu, Allah s.w.t akan ‘menjawab’ terus amalan mereka sekiranya diterima atau tidak.


40.   Allah s.w.t mengutuskan Nabi s.a.w dengan “jawami’ul kalim” iaitu kata-kata yang sedikit, tetapi maksud yang cukup banyak dan mendalam. Hal ini boleh dilihat di dalam kebanyakan doa-doa Nabi s.a.w yang mana doanya ringkas, tetapi maksudnya besar.


41.   Kelebihan yang dikurniakan kepada Nabi s.a.w melebihi kelebihan semua para nabi dan malaikat.



No comments:

Post a Comment