Menyapu debu tanah yang suci ke muka dan kedua-dua belah tangan hingga ke siku dengan syarat-syarat yang tertentu disertai dengan niat.
Tayyammum adalah salah satu daripada rukshah yang Allah kurniakan khas kepada umat Islam yang mempunyai keuzuran seperti sakit dan ketiadaan air.
Tayyumum adalah penganti kepada wudhuk dan mandi wajib kerana keuzuran yang diharuskan oleh syarak. Jadi, sekiranya kita tidak dapat berwudhuk atau mandi wajib, maka sudah memadai dengan bertayammum sahaja.
Bagi orang yang tidak dapat mandi wajib kerana keuzuran atau ketiadaan air, hendaklah ia bertayyammum. MEMADAILAH dengan menyapu debu tanah ke muka dan dua tangan hingga ke siku. TIDAK PERLU menyapu debu tanah ke seluruh anggota badan.
HUKUM : WAJIB bagi orang yang tidak boleh menggunakan air atau ketiadaan air apabila hdk mengerjakan solat, tawaf, meyentuh al-Quran, sujud syukur @ sujud tilawah.
Firman Allah SWT ;
“Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, Maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur".. Al-Maidah : 6
Hadis di bawah, sebahagian drp hadith yang agak panjang... Dari Imran bin Husain yang mengatakan bahawa kami bersama-sama Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan, lalu Baginda bersolat bersama orang ramai. Baginda dapati ada seorang yang tidak solat bersama, lalu baginda bertanya ; Kenapa engkau tidak solat ? Jawabnya : "Aku sedang berjunub dan tiada air utk mandi" Rasulullah SAW berkata : "Cukuplah engkau menggunakan debu tanah (tayammum)" Hadis riwayat Bukhari.
فَلَمَّا انْفَتَلَ مِنْ صَلَاتِهِ إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ مُعْتَزِلٍ لَمْ يُصَلِّ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ مَا مَنَعَكَ يَا فُلَانُ أَنْ تُصَلِّيَ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ أَصَابَتْنِي جَنَابَةٌ وَلَا مَاءَ قَالَ عَلَيْكَ بِالصَّعِيدِ فَإِنَّهُ يَكْفِيك
Hadith di atas menerangkan kewajipan bertayammum ketika hendak solat apabila ketiadaan air. tidak kira kerana sama ada berjunub atau sebab-sebab lain.
عَنْ جَابِرٍ قَالَ خَرَجْنَا فِي سَفَرٍ فَأَصَابَ رَجُلًا مِنَّا حَجَرٌ فَشَجَّهُ فِي رَأْسِهِ ثُمَّ احْتَلَم َ فَسَأَلَ أَصْحَابَهُ فَقَالَ هَلْ تَجِدُونَ لِي رُخْصَةً فِي التَّيَمُّمِ فَقَالُوا مَا نَجِدُ لَكَ رُخْصَةً وَأَنْتَ تَقْدِرُ عَلَى الْمَاءِ فَاغْتَسَلَ فَمَاتَ فَلَمَّا قَدِمْنَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُخْبِرَ بِذَلِكَ فَقَالَ قَتَلُوهُ قَتَلَهُمْ اللَّهُ أَلَا سَأَلُوا إِذْ لَمْ يَعْلَمُوا فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ وَيَعْصِرَ أَوْ يَعْصِبَ شَكَّ مُوسَى عَلَى جُرْحِهِ خِرْقَةً ثُمَّ يَمْسَحَ عَلَيْهَا وَيَغْسِلَ سَائِرَ جَسَدِهِ
رواه أبو داود والدارقطني وابن ماجه، وصححه ابن السكن (نيل الأوطار: 1/257
Dari Jabir, beliau berkata ; Pada suatu hari, kami keluar musafir. Salah seorang daripada kami luka lalu kepalanya dibungkus. Dia kemudiannya bermimpi (Junub), lalu dia bertanya kepada kawan-kawannya, Apakah dia boleh bertayammum? Kawan-kawanya menjawab : kami tidak mengetahui adanya kelonggaran demikian. Engkau masih boleh menggunakan air. Maka diapun mandi (junub) lalu mati. Apabila kami datang kepada Rasulullah SAW, kami memberitahunya kisah tersebut. Lalu Rasulullah SAW berkata : Kerana mereka membunuhnya, maka Allah membunuh mereka. Kenapa tidak bertanya jika mereka tidak tahu. Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya. Hadis riwayat Abu Daud, ad-Darqatni dan Ibnu Majah
عَن عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّهُ قَالَ لَمَّا بَعَثَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ ذَاتِ السَّلَاسِلِ قَالَ احْتَلَمْتُ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ شَدِيدَةِ الْبَرْدِ فَأَشْفَقْتُ إِنْ اغْتَسَلْتُ أَنْ أَهْلَكَ فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ بِأَصْحَابِي صَلَاةَ الصُّبْحِ قَالَ فَلَمَّا قَدِمْنَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ يَا عَمْرُو صَلَّيْتَ بِأَصْحَابِكَ وَأَنْتَ جُنُبٌ قَالَ قُلْتُ نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي احْتَلَمْتُ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ شَدِيدَةِ الْبَرْدِ فَأَشْفَقْتُ إِنْ اغْتَسَلْتُ أَنْ أَهْلَكَ وَذَكَرْتُ قَوْلَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ { وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا } فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا
رواه أحمد وأبو داود والدارقطني وابن حبان والحاكم، وأخرجه البخاري تعليقًا (نيل الأوطار: 258/1 )
Dari Amru bin al-As bahawa beliau berkata, Ketika kami dalam peperangan Zatu al-Salasil (8H), aku telah mimpi (berjunub) sedngkan ketika itu udara sangat sejuk. Aku mengelakkan drp binasa (sakit), lalu aku bertayammum dan mengimamkan solat subuh bersama-sama kawan-kawanku. Apabila kami sampai di sisi Rasulullah SAW, kawan-kawanku telah mengadu hal tersebut kepada Rasululah SAW. Lalu Rasulullah SAW bertanya : "Wahai Amru ! Adakah kamu mengimamkan solat dengan kawan-kawanmu, sedangkan engkau berjunub ?" Saya menjawab : "Saya teringat firman Allah SWT { وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا }. Lalu sayapun bertayammum dan solat". Rasulullah SAW hanya tersenyum dan tidak berkata apa-apa. Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, ad-Darqatni dan Ibnu Hibban dan al-Hakim.
Ini menunjukkan bahawa tayammum dibolehkan ketika udara sangat sejuk. Ini adalah pendapat Imam Malik dan Abu Hanifah.
ANGGOTA TAYAMMUM
1. Muka
2. Kedua belah tangan hingga ke siku
SEBAB-SEBAB TAYAMMUM
1. Ketiadaan air atau air hanya sedikit sahaja utk keperluan makan/minum dan ternakan.
2. Tidak boleh menggunakan air disebabkan sakit atau dikhuatiri lambat sembuh - lihat hadis org luka di atas.
3. Cuaca sangat sejuk atau air sangat sejuk yang boleh memmudharatkan - spt hadis di atas.
SYARAT-SYARAT TAYAMMUM
1. Hendaklah bertayammum dengan debu tanah walau apa bentuknya asalkan masih ada debu. Tidak boleh menggunakan tanah yang telah dibakar di mana debu tanah tersebut telah hilang.
2. Debu tanah suci drp najis
3. Debu tanah tersebut belum digunakan.
4. Debu tanah mestilah kering dan tidak bercampur dengan lumpur atau kapur
5. Menghilangkan segala najis sebelum bertayyammum
6. Hendaklah telah masuk waktu solat.
7. Hendaklah dilakukan dgn maksud tayammum. Jika angin membawa debu ke anggota tayammumnya, lalu disapu-sapu, dan diniatkan, maka tidak sah, kerana dia tidak bertujuan memindahkan debu tanah tersebut, tetapi ia datang sendiri. Walau bagaimanapun, jika ditayammum oleh orang lain dgn izinny, maka sah tayammumnya.
RUKUN TAYAMMUM
1. Niat – niat berwudhuk ketika menyapu ke muka.
نَوَيْتُ التَّيَمُّـمَ لاِسْتِبَاحَةِ الصَّلاةِ لله تَعَالى
“Sahaja Aku bertayyammum bagi mengharuskan solat kerana Allah Taala”
2. Menyapu debu tanah 1 kali ke muka
3. Menyapu debu tanah 1 kali ke tangan hingga ke siku bagi kedua-dua belah tangan
4. Tertib – melakukan semua rukun wudhuk mengikut susunannya.
عَنْ ذَرٍّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَقَالَ إِنِّي أَجْنَبْتُ فَلَمْ أُصِبْ الْمَاءَ فَقَالَ عَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ أَمَا تَذْكُرُ أَنَّا كُنَّا فِي سَفَرٍ أَنَا وَأَنْتَ فَأَمَّا أَنْتَ فَلَمْ تُصَلِّ وَأَمَّا أَنَا فَتَمَعَّكْتُ فَصَلَّيْتُ فَذَكَرْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَفَّيْهِ الْأَرْضَ وَنَفَخَ فِيهِمَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ
Dari Zar dari Said bin Abdul Rahman bin Abraza dari ayahnya, beliau berkata : Telah datang seorang lelaki kepada Umar bin Khattab sambil berkata : Aku telah berjunub, aku tidak ada air utk mandi wajib. Maka berkata Ammar bin Yasir kepada Umar bin Khattab : Ingatkah engkau ketika kita bermusafir, ketika saya dan engkau sedang berjunub, engkau tidak solat (sebab masih berjunub), sedangkan saya menguling-gulingkan diri di padang pasir, kemudian solat, setelah itu saya ceritakan kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW berkata kepadaku : Memadailah bagi engkau begini, lalu Rasulullah SAW menepuk kedua-dua telapak tangannya ke tanah, kemudian meniupnya (menipiskannya), lalu menyapunya ke muka dan kedua tangannya. Hadis riwayat Bukhari
PERKARA YANG MEMBATALKAN TAYAMMUM
1. Semua perkara yang membatalkan wudhuk
2. Ada air sebelum solat jika bertayyammum kerana ketiadaan air.
3. Hilang keuzuran yang mengharuskan tayammum. Contohnya spt hilang sakit, hilang sejuk atau ada alat utk mendapatkan air. Jika segala keuzuran tersebut hillang, maka terbatallah tayammum tersebut sebaik sahaja keuzuran itu hilang.
4. Murtad
PERKARA SUNAT KETIKA TAYAMMUM
1. Mulakan dgn membaca Basmalah.
2. Mengadap kiblat.
3. Menipiskan debu tanah sebelum menyapu ke muka / tangan
4. Mendahulukan menyapu tangan kanan daripada kanan kiri
5. Berturut-turut antara menyapu muka dan tangan.
6. Mengosok celah jari tangan dan jari kaki.
7. Merenggangkan jari semasa menekap debu.
CARA-CARA BERTAYAMMUM
1. Bersihkan diri dan anggota badan drp sebarang najis.
2. Tekapkan kedua-dua tapak tangan ke debu tanah
3. Nipiskan debu tanah dgn cara menepuk kedua belah tangan dengan perlahan
4. Sapukan ke muka dari bahagian atas ke bawah
5. Bersihkan tapak tangan drp debu tanah tersebut.
6. Tekapkan kedua-dua tapak tangan ke debu tanah sekali lagi di tempat yang lain
7. Nipiskan debu tanah dgn cara menepuk kedua belah tangan dengan perlahan
8. Sapu ke kedua-dua tangan dari pergelangan tangan ke siku. Mulakan dgn debu tangan kiri ke atas tangan kanan, bermula dari belakang tapak tangan hingga ke siku. Kemudian, di bahagian atas lengan dari siku hingga kembali ke tapak tangan kanan. Buat perkara yang serupa dgn debu tangan kanan ke atas tangan kiri.
PERKARA YANG BOLEH DILAKUKAN DENGAN SATU TAYAMMUM
Mazhab Hanafi : Boleh melakukan seberapa banyak solat fardhu dan solat sunat selagi tayammum tersebut belum terbatal. Kerana tayammum adalah cara bersuci ketika ketiadaan air, maka ia adalah ganti ketiadaan air, maka dia boleh solat fardhu dan solat sunat sebanyak mana dia suka dgn satu tayammum.
Mazhab Hanbali : Tayammum adalah terikat dgn waktu. Ini bermakna hanya solat fardhu pada waktunya sahaja yang boleh dilakukan, apabila luput waktu solat tersebut, maka terbatallah tayammum itu. Orang yang bertayammum boleh melakukan solat fardhu (solat pada waktu tersebut) dan mengqadha solat fardu yang lain atau menghimpun dua solat fardhu (solat Jamak) serta melakukan seberapa banyak solat sunat.
Mazhab Maliki - Tidak boleh digunakan untuk 2 solat fardhu, tidak boleh menghimpun beberapa solat sunat dan tidak boleh menghimpun solat fardhu dan solat sunat.
Mazhab Syafie - Tidak boleh digunakan untuk 2 solat fardhu, tetapi boleh digunakan untuk 1 solat fardhu dan beberapa solat sunat yang dia kehendaki.
Rujukan :
al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu - Wahbah al-Zuhaili
Fiqh as-Sunnah - Said Sabiq
No comments:
Post a Comment