Tuesday, March 29, 2016

Kisah Raja yang lari dari takhtanya


عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بن عَبْدِ اللَّهِ بن مَسْعُودٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ:إِنَّ بني إِسْرَائِيلَ اسْتَخْلَفُوا عَلَيْهِمُ خَلِيفَةً، فَقَامَ يُصَلِّي فِي الْقَمَرِ فَوْقَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ، فَذَكَرَ أُمُورًا صَنَعَهَا، فَتَدَلَّى بِسَبَبَ، فَأَصْبَحَ السَّبَبُ مُتَعَلِّقًا بِالْمَسْجِدِ وَقَدْ ذَهَبَ، فَانْطَلَقَ حَتَّى أَتَى قَوْمًا عَلَى شَطِّ الْبَحْرِ، فَوَجَدَهُمْ يَصْنَعُونَ لَبَنًا، فَسَأَلَهُمْ: كَيْفَ تَأْخُذُونَ عَلَى هَذَا اللَّبَنِ؟ فَأَخْبَرُوهُ، فَلَبِنَ مَعَهُمْ، فَكَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ حَتَّى إِذَا حَضَرَتِ الصَّلاةُ تَطَهَّرَ فَصَلَّى، فَرَفَعَ ذَلِكَ الْعَامِلُ إِلَى دِهْقَانِهِمْ، فَقَالَ: فِينَا رَجُلٌ يَصْنَعُ كَذَا وَكَذَا، فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ، فَأَبَى أَنْ يَأْتِيَهُ، ثُمَّ إِنَّهُ جَاءَ يَسِيرُ عَلَى دَابَّتِهِ، فَلَمَّا رَآهُ فَرَّ، فَتَبِعَهُ فَسَبَقَهُ، فَقَالَ: أَنْظِرْنِي أُكَلِّمْكَ كَلِمَةً، فَقَامَ حَتَّى كَلَّمَهُ، فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ كَانَ مَلِكًا، وَأَنَّهُ فَرَّ مِنْ رَهْبَةِ ذَنْبِهِ، فَقَالَ: إِنِّي لاحِقٌ بِذَلِكَ مَعَكَ، فَعَبَدَا اللَّهَ، فَسَأَلا اللَّهَ أَنْ يُمِيتَهُمَا جَمِيعًا، فَمَاتَا، قَالَ عَبْدُ اللَّهِ: فَلَوَ كُنْتُ بِرُمَيْلَةِ مِصْرَ لأَرَيْتُكُمْ قُبُورَهُما يَصِفُهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ .


Dari Abdul Rahman bin Abdullah bin Mas'ud dari ayahnya, Rasulullah SAW bersabda : "Bani Israil telah melantik seoarng peimpin (raja) dikalangan mereka. Pada suatu malam, dia mengerjakan solat di bawah cahaya bulan di Baitul Muqaddis, lalu dia mengingat kembali perkara yang pernah dia lakukan, maka dia turun melalui tali. Esoknya, tali itu bergantungan di masjid, tetapi dia tiada (sudah pergi). Dia pergi sehinggalah berjumpa sekumpulan orang di tepi pantai yang sedang membuat bata. Dia bertanya cara membuat bata itu. Lalu diberitahu kepadanya cara membuat bata. Maka dia bekerja bersama mereka membuat bata. Dia makan dari usaha tangannya sendiri. Jika masuk waktu solat, dia akan solat. Hal ini telah dilaporkan kepada ketua desa mereka, bahawa di antara mereka terdapat lelaki yang begini begini. Maka ketua desa mereka mengundangnya, dia menolaknya. Kemudian ketua desa datang dengan menunggang kenderaannya, tetapi lelaki itu menghilangkan diri. Ketua desa itu terus menurutinya, tetapi tidak berhasil. Lalu ketua desa tadi berkata ; Tunggu ... aku ingin bercakap denganmu. Diapun berhenti dan mereka dapat berbual. Maka lelaki itu menjelaskan bahawa dia adalah Raja, dia melarikan diri dari takhtanya kerana takut kerana dosanya. Maka ketua desa itu berkata : Aku mengikutimu. Lalu dia mengikutinya dan kedua-duanya beribadah kepada Allah SWT dan memohon kepada Allah supaya kedua-dua mereka mati bersama, maka kedua-duanya mati. Abdullah berkata : Seandainya aku berada di Rumailah, Mesir nescaya aku tunjukkan kubur mereka berdua berdasarkan tanda yang disampaikan Rasulullah SAW." Hadis riwayat Ahmad dan Thabarani dan dikelaskan sebagai Hadis Shahih oleh Albani dalam kitab Silsilah al-Ahadis as-Shahihah no.2833


 Kisah di atas menceritakan bagaimana seorang raja yang berkuasa, tiba-tiba melarikan diri dari takhtanya. Lari kerana kerelaan sendiri, bukannya terpaksa atau dikejar oleh tentera musuh. Ketika bersolat di Masjid al-Aqsa yang diterangi oleh cahaya bulan, dalam suasana yang sepi dan indah itu, Raja tersebut telah memuhasabahkan dirinya...


Dia mengimbas kembali segala tingkahlaku dan kerja buatnya selama dia menjadi raja. Dia mengimbau segala tanggungjawabnya sebagai seorang raja yang dipertangungjawabkan ke atas rakyatnya.. Betapa berat bahunya memikul, tugas dan tanggungjawab tersebut... malah dia berfikir betapa besarnya amanah yang dipikul.. Dia merasakan ada sesuatu yang membuatnya gelisah dan amat takut... takut kepada Allah... takut dipersoalkan di akhirat nanti... tentang tanggungjawab sebagai raja... adakah telah dilaksanakan dengan penuh amanah atau di sana ada perkara yang belum selesai, ada rakyat yang masih kesusahan, ada kezaliman yang berlaku terhadap rakyat.. dan banyak lagi... semuanya dituju kepadanya sebagai raja... mampukah dia menanggung semua itu di hadapan Allah di akhirat nanti...


Lantas, dia melarikan diri. Bukan lagi dari tanggungjawab sebagai pemerintah dan kekuasaan... tetapi lari kerana dia berasa tidak mampu memikul tugas dan amanah tersebut. Lari mencari satu tempat di bumi Allah yang luas, tempat di mana tiada orang yang mengenalinya agar dia dapat beribadah kepada Allah tanpa sebarang gangguan dan godaan kekuasaan. Lari meninggalkan kekuasaan adalah satu perkara yang teramat jarang berlaku dan bukanlah perkara mudah untuk dilakukan oleh mereka yang berada di tampuk kekuasaan, memegang segala urusan dan mengendalikan halatuju negara dan rakyat. Segala katanya mesti dituruti, segala perintah mesti dilaksana.. dialah pemutus kata dalam sebarang urusan..


Tentu sekali kenikmatan dan kesenangan yang dimiliki kerana kekuasaan dan pemerintahan sesuatu yang tidak mudah untuk dibuang dan dilupakan. Tetapi kerana Allah, takutkan azab Allah, betapa indahnya bila beribadah kepada Allah, maka segala godaan dan fitnah kekuasaan dan pemerintahan tidak melalaikan raja tadi. Beliau pasrah menyerahkan kepada Allah.. segala kekuasaan, segala kemasyhuran, pangkat dan segala-galanya.. semuanya ditinggalkan... dibuang begitu sahaja.


Raja tersebut telah lari ke arah pantai, dia terjumpa sekumpulan pekerja yang sedang membuat bata. Lalu dia belajar membuat bata, apabila sudah pandai, diapun bekerja bersama mereka membuat bata. Dia menjadikan pekerjaan membuat bata sebagai mata pencariannya.. Dia bekerja dengan tekun dan apabila masuk waktu solat, dia berhenti bekerja dan terus menunaikan solat. Dia terus bekerja dan menyembunyikan identiti dirinya supaya tidak dikenali sesiapa, agar dapat beribadah kepada tuhannya dengan penuh khusuk.


Namun, ketekunannya ketika bekerja dan sikap beliau yang sentiasa menjaga solat, telah menarik perhatian pekerja-pekerja tersebut. Lalu mereka memaklumkan tentang dirinya kepada penguasa di daerah tersebut. Pembesar-pembesar tersebut, sebenarnya memang sedang mencari raja mereka yang menghilangkan diri. Dari laporan dari pekerja-pekerja bata tadi, mereka dapat mengagak bahawa itulah raja yang telah menghilangkan diri... Lalu ketua desa menghantar undangan menjemputnya. Tetapi lelaki tadi enggan. Ketua desa itupun datang sendiri menemuinya. Tetapi raja tadi melarikan diri, kepala desa mengejarnya dan akhirnya keduanya dapat berbual. Akhirnya ketua desa, mengikut jejak si raja dengan meninggalkan jawatan, kedua-duanya untuk beribadah kepada Allah. Kedua-dua mereka berdoa supaya dapat mati bersama, Allah telah memakbulkan doa tersebut... kedua-duanya akhirnya mati bersama dan kuburnya terdapat di Rumailah, Mesir.


Begitulah kesudahan penguasa yang insaf tentang tanggungjawab pemerintah yang sangat besar dan akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat nanti. Dia merasakan dia tidak mampu untuk menanggung tanggungjawab tersebut, malah telah menyebabkan dirinya lalai dalam ibadahnya kepada Allah. Lantas, dengan penuh nekad, dia meninggalkan semua itu demi untuk beribadah kepada Allah !

No comments:

Post a Comment