Rejab datang kembali…………
Di bulan Rejab yang mulia ini, telah berlaku satu peristiwa yang amat mengejutkan masyarakat arab jahiliyyah. Gempar…hinggakan ia tersebar ke seluruh pelusuk Tanah Arab dengan begitu cepat sekali walaupun tiada kemudahan internet, handphone, akhbar, televisyen, radio, pesawat serba canggih dan pelbagai lagi alat komunikasi sejagat. Hanya ada kuda, unta dan kaldai….Persoalannya…Mengapakah ia terjadi demikian ?
Logiknya, ia menunjukkan bahawa peristiwa Isra' dan Mi'raj ini adalah satu peristiwa yang amat penting. Keramat, Pelik, Tidak Logik dan Kisah Dusta itulah ungkapan yang dilabelkan oleh tok-tok Arab Jahiliyyah yang diketuai oleh Abu Jahal ketika itu.
Di satu pihak yang lain (mereka yang benar-benar beriman), ia adalah satu Kisah Benar ala X-Files yang sukar diterima akal logik tetapi hanya dapat ditafsirkan melalui keimanan yang teguh. Ia merupakan satu perjalanan Illahiyah yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah peradaban manusia yang menjadi mukjizat dan lambang kebesaran dan kemuliaan Rasulullah SAW serta keberkatan bulan Rejab yang diisytiharkan sebagai SyahruLLah (Bulan Allah).
Saudara sekelian,
Ringkasnya, ia merupakan "Holy Tour" yang dilakukan di suatu malam yang sunyi, bukannya bak mencari temasya hiburan di malam hari, tetapi ia adalah pengembaraan suci mengadap Tuhan Rabbul Jalil Yang Maha Suci. Sebagaimana yang kita sedia maklum, peristiwa Isra' dan Mi'raj ini berlaku di 'Tahun Dukacita' bagi Rasulullah SAW setelah baginda kehilangan Siti Khatijah tersayang, kemudian menyusul pergi pula bapa saudaranya padahal keduanya cukup banyak berkorban mempertahankan baginda dalam menegakkan Islam, ditambah pula cacian penduduk Thaif dan masyarakat Makkah sendiri, lalu Allah mengisra'mi'rajkan baginda bagi memperkukuhkan keimanan di samping menghiburkannya.
Sesungguhnya, secara tidak langsung ia menjelaskan kepada kita bahawa cara yang tepat untuk menyelesaikan masalah, kedukacitaan dan sebagainya adalah dengan cara mengadu kepada Allah SWT sama ada dengan zikruLLah atau mendirikan solat sesuai dengan penerimaan perintah mendirikan solat dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj tersebut.
Sehubungan dengan itu, adalah satu tindakan yang salah, sesat dan menyesatkan apabila kita beranggapan bahawa cara untuk menghiburkan diri adalah melalui hiburan-hiburan artis pujaan yang mana akhirnya menyemai baja ke arah budaya mungkar dan maksiat serta membutakan hati daripada etika dan syariat Islam.
Ikhwah yang budiman,
Sesungguhnya peristiwa Isra' dan Mi'raj ini turut mengambarkan keselarasan sistem peraturan antara langit dan bumi. Langit melambangkan kekuasaan dan kerajaan langit, sementara bumi melambangkan kekuasaan dan kerajaan bumi. Kerajaan Bumi tidak boleh bertindak bebas tanpa berpandukan peraturan dan undang-undang dari kerajaan Langit. Pendek kata, segala tindak-tanduk manusia di bumi mestilah diselaras dan diseimbangkan dengan kemahuan dan kehendak kerajaan Langit sama ada dari aspek individu, masyarakat, bernegara, ekonomi, undang-undang dan sebagainya.
Ini bermakna jika sekiranya makhluk dan kerajaan Langit itu beriman, patuh dan tunduk kepada Iradah Allah, tiada pilihan kepada makhluk bumi, melainkan tunduk patuh menyerah diri kepada peraturan Allah SWT. Begitu jugalah manusia yang dikurniakan akal dan dilantik menjadi Khalifah di muka bumi ini mestilah patuh dan tunduk kepada Allah sebagaimana patuh dan tunduknya makhluk bumi yang lain seperti binatang, tumbuhan dsb.
Wahai sekelian manusia….INGATLAH amaran ALLAH
"Mengapakah mereka mencari agama selain daripada agama Allah ? Walhal segala apa yang ada di langit dan bumi terah menyerah diri kepadaNya dengan sukarela dan terpaksa. Dan kepadaNyalah mereka akan dikembalikan" Surah Ali Imran :83
Peristiwa Isra' dan Mi'raj telah mendedahkan kepada kita bahawa IBLIS, YAHUDI, KRISTIAN dan DUNIA bersengkokol menentang ISLAM. Mereka mencipta berbagai kaedah dan taktik-taktik licik seperti mewujud dan menaja budaya seronok supaya umat Islam lupa syariat dan lalai daripada mengingati mati sedangkan menurut Iman Al-Ghazali dalam kitabnya Kasyfu Yaumil Qiamah, Malaikat Maut sentiasa merenung manusia 70 kali sehari dan menziarahi setiap rumah yang berpenghuni sekurang-kurangnya 5 kali sehari.
Semua ini menyebabkan umat Islam meninggalkan tanggungjawab mereka sebagai Khalifah di muka bumi ini. Akibat keperkasaan dan kejayaan strategi yang digunakan, mereka (umat Islam) telah terkeliru dengan falsafah amal, dosa dan pahala. Lebih-lebih lagi dicanangkan dengan slogan "enjoylah masa muda ini puas-puas, nanti kalau dah tua baru bertaubat", golongan remaja seolah-olah 'hilang akal' dengan trend-trend moden yang disogok dan dimomokkan dengan pelbagai pesta. Seks, arak dan judi sudah menjadi pesta rutin saban hari…..sesat sesesatnya. Tanpa disedari, maut pasti datang. Ingatlah, daun yang muda kadang-kadang gugur juga begitulah juga nyawa manusia. Mereka bebas semahunya tanpa ada konkongan agama dan budaya, halal dan haram tidak diperdulikan, maklumlah apabila nafsu dan syaitan berkerjasama semua yang jahat dianggap baik dan sebaliknya. Sedangkan menurut Islam, semua yang baik atau buruk tetap dikira amal. Apabila ditanya Mungkar dan Nakir barulah mereka menyesal kerana mereka tidak terfikir apa yang mereka lakukan di dunia dulu adalah AMAL JAHAT yang pasti mengundang ke NERAKA…………….
Secara ringkasnya, peristiwa yang dialami oleh Rasulullah SAW ketika Isra' dan Mi'raj adalah seperti berikut ;
Peristiwa Isra'
1. Orang yang bercucuktanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat.Gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah
2. mencium bau yang wangi iaitu bau tukang sikat Firaun yang beriman kepada Allah
3. Sekumpulan manusia menghempap kepala masing-masing dengan batu berulangkali. Gambaran orang yang berat melakukan solat fardhu.
4. Kumpulan manusia telanjang memakan rumput berduri, buah zakkum yang sangat pahit dan makan bara api Jahannam. Balasan orang yang tidak suka menderma, bersedeqah dan tidak mengeluarkan zakat.
5. Orang yang mengguntingkan lidah tidak berhenti-henti. Balasan orang yang bercakap tetapi tidak mengamalkannya.
6. Ssekumpulan manusia makan daging busuk sedangkan ada daging baik, balasan orang yang berzina sedangkan dirinya ada isteri yang sah.
7. Orang yang tenggelam timbul dalam lautan darah dan dilemparkan dengan batu. Balasan orang yang makan riba.
8. Kumpulan manusia mencakar-cakar muka dan dada dengan kuku yang tajam. Balasan orang yang suka mengumpat.
9. Orang yang membawa berkas kayu yang banyak tidak terangkat olehnya. Balasan oarang yang menerima amanah tetapi tidak sanggup melaksanakannya.
10. Seekor lembu keluar dari lubang kecil tetapi tidak dapat masuk semula ke dalam lubang tersebut. Gambaran orang yang suka bercakap besar.
Peristiwa Mi'raj
1. Wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.
2. Wanita tergantung pada rambutnya, otaknya menggelegak dalam periuk. Balasan wanita yang tidak menutup auratnya (rambut)
3. Wanita berkepala seperti babi, badannya seperti kaldai dan menerima berbagai balasan wanita yang suka membuat fitnah, bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.
4. Wanita yang mukanya hitam dan memamah isi perutnya sendiri. Balasan wanita yang mengoda dan menghairahkan lelaki.
5. Lelaki dan wanita yang ditarik kemaluannya ke depan dan ke belakang serta dilontar mukanya ke api neraka. Kemudian ditarik dan dipukul hingga keluar api dari badannya. Balasan orang yang membesarkan diri dan takabur kepada orang ramai.
6. Lelaki dan wanita dimasukkan besi pembakar daging dari duburnya, keluar hingga ke mulutnya. Balasan orang yang membuat fitnah, mengejek dan mencaci.
7) Wanita tergantung rambutnya di pohon Zakkum, api neraka membakarnya lalu kering kecut dagingnya terbakar. Balasan wanita yang minum ubat untuk membunuh janin.
8. Wanita dibelenggu dengan api neraka, mulutnya terbuka luas, keluar api dari perutnya. Balasan wanita yang menjadi penyanyi tidak sempat bertaubat.
9. Lelaki dan wanita yang masuk api ke dalam perut dari duburnya lalu keluar dari mulut. Balasan orang yang makan harta anak yatim.
10. Lelaki dan wanita kepalanya terbenam dalam api, dituang pula air panas ke badannya lalu melecur seluruh tubuhnya. Balasan orang yang berusaha ke arah pergaduhan sesama manusia.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment